Jumaat, 2 April 2010

NEGERI TUMPAHNYA DARAHKU

Melaka negeri yang tua melakar seribu sejarah dan kenangan. Disinilah aku dilahirkan dan dibesarkan. Hanya apabila meningkat remaja dan dewasa dia ku tinggalkan, merantau menimba ilmu dan mencari rezeki. Akan tetapi ada masa lapang pasti aku kembali menjenguknya. Banyak peristiwa yang menggamit perasaan dan nostalgiaku tersimpan ditanah tumpahnya darahku ini. Aku membesar dengan kematangan dan kedewasaanku sebagai anak jati Melayu Melaka selari dengan kemegahan negeri itu pada suatu masa dahulu.



MELAKA MAJU JAYA

Melaka negeri bersejarah,
tempat tumpah darah kita,
dijunjung dengan sepenuh jiwa,
untuk maju dan jaya.

rakyat melaka sudah bersatu padu,
berikrar taat setia,
jujur berkhidmat setiap masa,
Melaka Maju Jaya

Lagu keramat yang membangkitkan jiwa yang terpendam untuk terus membangun dan memperkasakan diri demi kesejahteraan bangsa dan negeriku. Melaka kian pesat maju seiring dengan kehendak semasa. Akan tetapi sejarah lampaunya masa terpahat dihati setiap rakyat. Sebuah negeri yang kecil mampu menonjol dipersada dunia. Mampu memaklumkan bahawa bangsa yang kerdil ini ada kekuatan dan sejarahnya tersendiri. Walaupun pemimpin silih berganti kemakmuran dan perpaduan rakyat masih terjaga. Pembangunan demi pembangunan dilaksanakan semuanya untuk dinikmati oleh rakyat Melaka. Biarpun Bandar Ilir telah berubah wajah namun tempat-tempat sejarah masih utuh berdiri. Hanya Dataran Pahlawan yang telah tiada, 'dibinasakan' oleh kerakusan tangan yang zalim. Tempat yang begitu bersejarah sinonim dengan sejarah Kemerdekaan negara kita. Ia akan luput dari ingatan generasi muda kerana tiada yang dapat ditunjukkan sebagai bukti. Sejarah penjajah begitu diagung-agungkan hingga dijaga dengan rapi dan tersimpan sehingga kini. Malah untuk melenyapkannya pun tidak akan berlaku walhal bangsa inilah yang telah membinasakan sejarah kekuatan bangsa Melayu.


..syair sejarah Melaka


Melaka mempunyai pelbagai kesenian dan kebudayaan. Antara yang lebih menonjol adalah Dondang Sayang dan Kereta Lembu serta juga beca berhiasnya. Suatu ketika dahulu Melaka begitu sinonim dengan Mandi Safar. Sebut saja acara ini pasti seluruh rakyat akan bertandang bersama-sama memeriahkannya yang kebiasaan diadakan pada bulan safar. Berduyun-duyun orang ramai yang datang membanjiri Pantai Kundur untuk menyaksikan pelbagai pertunjukkan kebudayaan dan kesenian. Dari petang lagi mereka memenuhi ruang pesta yang diadakan sepanjang pantai. Pada kebiasaannya acara pesta ini akan tamat pada keesokkan paginya. Ada yang datang dengan kenderaan sendiri dan ada juga yang datang dengan kenderaan awam. Suasana pesta ketika itu sungguh menakjubkan masing-masing tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah hiburan yang disediakan. Dongdang Sayanglah menjadi penyeri acara. Terdapat berbilang Dongdang Sayang yang dipersembahkan,masing-masing menunjukkan kekuatan mereka berpantun tanpa sebarang persiapan sehinggalah ada peserta yang akhirnya mengaku kalah dan menarik diri. Bait-bait pantun kebiasaannya berkisar dengan cinta dan kasih sayang. Kini semuanya telah tiada. Tiada lagi persembahan kesenian yang diadakan terus menerus sehingga pagi. Acara yang dianggap bercanggah dengan syariat agama.


...lagu Melayu Asli Melaka


Orang tua-tua Melaka memang handal dalam bab berpantun. Ada saja topik yang diutarakan dan ada pihak yang membalasnya. Ia sekadar hiburan untuk sesuatu majlis dan ketika ini ianya telah berkurangnya minat generasi muda untuk menyambung bidang ini. Sebut sahaja Melaka,orang luar akan terpanggil dengan beberapa perkataan yang kerap kedengaran apabila menziarahi rumah orang Melaka. Lahabau,hawau dan lahanat serta beberapa perkataan lain yang diucapkan sebagai penyambut kedatangan tetamu akan tetapi ianya bukan bererti kasar atau memarahi sebaliknya menonjolkan riak keriangan orang Melaka terhadap tetamu yang datang. Itulah keramahan orang Melaka terhadap tetamunya dan adakala dianggap keterlaluan. Juadah makanan kuah bakar,dodol dan cencalok pasti dihidangkan kepada tetamu yang bertandang. Diakhir-akhir ini ianya tiada lagi kedapatan. Mungkin zaman dan selera telah berubah.



Kalau roboh kota Melaka
Tanah diJawa kami dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Badan dan nyawa kami serahkan





......pantun Melayu Melaka















Tiada ulasan:

Catat Ulasan