Ahad, 25 April 2010

SEMANGAT KAMPUNG

Waktu dulu-dulu orang kampungku sungguh bersatu. Apa jua pekerjaan yang ingin dilakukan mereka akan sama-sama  akan berganding bahu melaksanakan. Tidak pernah merungut dan tidak pernah ketinggalan untuk ikut serta. Masing-masing tahu akan peranan mereka tanpa perlu mengikut perintah. Saling bantu membantu serta bertukar pandangan asalkan pekerjaan itu siap dan sempurna. Kalau tidak ikut serta mereka akan berasa seperti bersalah dan terkilan. Jemput sahaja samaada diumumkan dimasjid maupun di undang dirumah mereka pasti mereka hadir. Pagi-pagi lagi mereka sudah datang menghadirkan diri. Siap dengan kelengkapannya. Kalau ada yang kurang sudah pasti ada yang sudi menambahkan tanpa meminta sebarang bayaran. Segalanya dilakukan demi semangat kampung dan persaudaraan.

Majlis perkawinan umpamanya mereka akan saling membantu menyiapkan apa jua pekerjaaan dari mula majlis sampailah keakhirnya. Ada saja yang dilakukan secara beramai-ramai. Orang lelaki dengan tugasnya dan juga orang wanita dengan tugasnya. Jelas kelihatan akan semangat bergotong royong dan saling membantu. Tidak pernah mengeluh dan tidak pernah meminta habuan sebagai balasan. Kebiasaannya tuan rumah sudah tahu apa perlu dia lakukan sebagai mengenang jasa orang kampung yang menjayakan majlisnya
Juga pada majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran atau tahli. Jemput atau umumkan saja  pada orang kampung pasti berduyun menjayakan majlis itu. Tidak perlu disebutkan lagi apa aktiviti kampung yang tidak pernah tidak didatangi oleh orang-orang kampung. Pasti mereka ada dimajlis itu. Itulah semangat kampung yang begitu mendalam tersemai disanubari disetiap penduduk kampung. Bagai sudah mengerti apa yang patut mereka lakukan pabila diberitahu.

Akan tetapi segalanya ini telah berkurangan dan hampir pupus. Dizaman ini apa yang pernah dikecapi dan dialami pada masa 30 tahun yang lalu sudah menipis. Masing-masing dengan cara mereka. Ada sahaja alasan yang diberi bila diberitahu atau dijemput untuk kesesuatu majlis. Ada yang sudah pandai membuat pilihan sendiri semata-mata menurut hawa nafsu mereka. Kalau yang mengadakan majlis adalah orang yang ada kedudukan sudah pasti mereka memenuhi majlis itu dan jika yang membuatnya adalah orang biasa serta majlisnya kecil atau sederhana yang mendatanginya juga kecil bilangannya. Semang kampung diantara penduduk kampungku kini meruncing. Tiada lagi semangat setiakawan. Mungkin perbezaan masa yang menyebabkan hal ini berlaku. Mungkin status kehidupan setengah dari mereka telah berubah dan ini menyebabkan mereka rasa mereka tidak perlu berada dimana-mana majlis yang diadakan. Mereka boleh memilih mana yang dikehendakki.

Keriangan dan kemesraan antara penduduk kampung juga ketara berkurangan nampaknya. Yang tua tidak lagi mahu mencampuri kehidupan anak-anak muda. Tidak mahu memberi bimbingan dan nasihat serta petunjuk. Maka tidak hairanlah sesetengah anak muda yang baru meningkat usianya sudah tidak lagi menghormati orang-orang tua. Mereka dengan kehidupan mereka tersendiri. Tidak ada yang mahu menegur apa lagi menasihati apa yang mereka lakukan. Ada antara aktiviti-aktiviti anak-anak muda ini melanggari tatasusila dan adab kesopanan sebagai seorang Melayu dan berugama Islam.
Segalanya terumbang ambing. Ada yang berani mencabar keselamatan dan keharmonian kampung dengan perkara-perkara yang mereka lakukan tanpa memikirkan padah serta akibatnya.

Apa yang pasti sekiranya perkara ini tidak dibendung atau disekat ianya akan menular pada generasi akan datang. Maka terjadilah satu kehidupan yang begitu menjelikkan dan merosakkan identiti orang kampung itu sendiri. Kenapa orang-orang kampung diketika ini sudah tidak lagi peduli akan perkara ini walhal disuatu masa dahulu orang-orang Kampung Pulau sungguh dihormati dan disegani pabila menangani hal-hal semacam ini. Kemana hilangnya semangat kampung pada diri mereka. Apa sebenar yang berlaku? Yang pasti dapat memberikan jawapan akan soalan ini adalah orang-orang tua serta pemimpin Kampung Pulau itu sendiri. Kemana halatuju mereka? Apakah perancangan yang mereka ingin laksanakan? Kita liihat dan tunggu.....

Isnin, 12 April 2010

WARISAN KEBANGGAAN BANGSAKU

Terdapat pelbagai warisan peninggalan keturunan bangsaku yang terdahulu. Selain dari adat resam,budaya,kesenian dan agama, warisan berbentuk bangunan juga ada yang ditinggalkan sebagai sejarah untuk tatapan generasi yang terkemudiannya. Ini adalah peninggalan yang begitu bermakna buat seluruh bangsaku. Sejarah yang menunjukkan titiktolak bermulanya penyebaran agama Islam dinegeri Melaka. Dari sinilah bermulanya penyatuan bangsaku. Pegangan hidup yang menjadikan bangsaku satu bangsa yang bermaruah dan tinggi pekertinya. Satu bangsa yang sentiasa mengamalkan sikap tolenransi dan bersatu dalam apa jua hal kehidupan. Bangsa yang dahulunya terlalu menghormati hati dan perasaan  orang lain. Sikap yang membuatkan bangsa Melayu itu unik.

                                                                                    ...pemandangan masjid kg.hulu
Antara warisan peninggalan itu adalah Masjid Kg.Hulu yang letaknya ditengah-tengah pusat Bandar Melaka dan juga tembang jawa. Masjid Kg.Hulu merupakan masjid yang tertua diMalaysia. Ini dapat dibuktikan dengan ciri-ciri senibinanya dan juga jika diambilkira bermulanya penyebaran agama Islam di Tanah Melayu. Senibina Masjid Kg.Hulu mengikut 100% senibina Masjid Demak di Indonesia. Ada yang mengaitkan Masjid Kg.Hulu sebagai masjid kedua Masjid Demak. Melaka adalah merupakan pusat penyebaran agama Islam terawal bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Ini fakta yang tidak boleh dinafikan kerana dizaman kegemilangannyalah Melaka menjadi pusat tumpuan perniagaan. Banyak mubaligh-mubaligh Islam mendatangi Melaka. Selain berdagang mereka juga giat menyebarkan syiar Islam. Sultan Melakalah orang pertama memeluk Islam dizaman itu diikuti oleh pembesar-pembesar dan rakyat jelata.


                                          ...pemandangan belakang masjid


 
pemandangan dalam masjid
                                                                           
      
pemandangan sudut tepi masjid

Pada zaman penyebaran agama Islam di Tanah Jawa banyak adat resam dan budaya masyarakat pada waktu itu ditukar kaedah pengamalannya. Kebanyakkannya pada masa itu masih mengikut ajaran Hindu dan apabila Islam mula bertapak di Tanah Jawa sedikit demi sedikit adat resam dan budaya ini ditukar amalannya kepada yang berunsur Islam. Di Indonesia masyarakatnnya suka akan kesenian. Jadi atas inisiatif para wali ada kesenian yang berteraskan Islam dicipta akan tetapi masih menggunakan peralatan yang sama. Antaranya adalah wayang kulit dan tembang jawa. Para pendakwah Islam pada waktu itu menggunakan kaedah ini untuk menambat hati masyarakat Jawa agar mendekatkan diri dan mengamalkan ajaran Islam.




...tembang jawa

Secara tidak langsung hati mereka tersentuh dan akhirnya menganut agama Islam. Maka dengan secara tak langsung hampir keseluruhan penduduk Tanah Jawa memeluk Islam. Disini jugalah bermulanya penyatuan dan kesatuan antara masyarakat yang begitu menyukai akan kesenian mereka walaupun senikata dan jalan ceritanya ditukarkan dengan perkara-perkara yang bersangkut paut dengan agama Islam. Sesuatu yang begitu lembut dan menyentuh perasaan.  Cara pendekatan yang begitu berkesan.

Ahad, 11 April 2010

KISAH YANG LAMPAU

Terkenang zaman kanak-kanak dimana aku membesar bersama dengan rakan-rakan sebaya denganku ada ketikanya mengetuk hati dan perasaanku. Mengimbau sejarah silam bersama mereka menyelusuri segenap pelosok kampung sungguh mengujakan. Saat di sekitar tahun 60an dan 70an terlalu terpahat disanubariku. Apatah lagi segalanya serba kekurangan tidak seperti sekarang. Kami berlari merentas batas-batas sawah,bergelumang dengan lumpur sambil mencari ikan. Hiruk pikuk dibuatnya tatkala sama-sama berendam dan berenang disungai atau benteng. Ada yang membuat terjunan seolah-olah lagak ahli sukan professional.


..mandi disungai

Beralun dan berombak air dibuatnya. Yang pandai menyelam adakala membuatkan hati kami risau. Apa taknya menyelam sambil tak timbul-timbul. Selang 20 minit baru menampakkan wajahnya sambil tersenyum. Yang suka mengail sungailah menjadi  lubuk mencari ikan. Sepat, sembilang,haruan,puyu dan belida adalah sasaran mereka. Dimusim menuai padi sungai juga menjadi tumpuan. Diempangannya sungai disebelah atas dan bawah. Yang tengah-tengah ditimba airnya agar kering.
Maka kelihatanlah ikan-ikan melompat dan tinggal dalam lumpur. Ada ketikanya mereka memperolehi hasil yang lumayan. Yang tak sabar melakukan kerja ini lain pula jadinya. Mereka lebih gemar menuba. Maka beratuslah ikan yang mabuk timbul dipermukaan air. Satu penganiayaan.


..kebun getah

Kami tidak mempunyai alat sukan atau permainan yang
canggih tatkala itu. Getah sekerap menjadi bahan untuk dijadikan bola. Berjela-jela sekerap yang diperlukan untuk membuat lilitan sebesar yang dikehendaki. Kebun getahlah tempat kami mendapatkan sekerap itu. Ada ketika kami dikejar dan dihamun oleh tuan punya kebun. Apa taknya kami 'mencuri' hasil torehan mereka. Maka bertempiaranlah kami berlari menyelamatkan diri. Yang sering kami lakukan adalah permainan baling kotak, uji kekuatan biji getah, lawan 'spider' kecil,galah panjang dan teng-teng. Diwaktu kenduri kawin polis santrylah menjadi permainan yang diminati. Selalu dimainkan berkumpulan. Adakala satu kampung kami menyorok agak sukar ditangkap dan akhirnya diistihar menang sebab kumpulan yang satu lagi mengaku kalah.


..sawah padi walaupun bukan dikampungku

Apabila umur meningkat sedikit walaupun dizaman kanak-kanak permainan gasing dan getah domba menjadi pilihan kami. Ada yang terisak menangis akibat gasingnya terbelah dipaku gasing kawan. Yang pandai bermain getah domba selalu memperolehi getah yang banyak dalam poket seluar mereka. Dimusim berangin permainan layang-layang menjadi kegemaran. Sawahlah tempat kami bermain menaikkan layang-layang. Gembira hati kami melihat layang-layang yang memenuhi ruang udara.

Ini semuanya berlaku dimasa kami berumur sekitar 7 sehingga 12 tahun. Zaman tatkala kampung kami masih lagi dalam keadaan yang begitu harmonis dengan indah. Segalanya serba kehijauan dengan pokok-pokok dan tumbuhan. Sungguh mendamaikan hati. Kini semuanya telah tiada. Aku begitu merindukan saat dan ketika itu. Satu perjalanan kehidupan yang mengasyikkan dan tidak akan diperolehi lagi.

Ahad, 4 April 2010

SEJARAH SILAM BANGSAKU

Asal dari tanah jawa dan berhijrah ke Tanah Melayu pada pemerintahan Kesultanan Melaka. Menganut agama Islam yang disebarkan dan dibawa oleh para ulamak. Berhijrah ke Melaka dengan di iringi adik beradik dan saudara terdekat. Hampir semuanya kaum lelaki. Merantau untuk mencari rezeki dan ilmu disamping meneruskan kehidupan yang baru. Mengusahakan pertanian dan antara kelompok terawal yang membuka kampungku.Rata-rata seluruh penduduk kampung adalah bersaudara dan mempunyai pertalian darah. Disinilah mereka bertemu jodoh dan bilangan penduduk semakin bertambah dari kehari sehingga kini melebihi 200 orang. Adat resam yang dahulunya selalu diamalkan sekian hari semakin menipis dan dilupakan.Mungkin orang-orang tua terdahulu tidak menitikberatkan hal ini dan seterusnya tidak mengajar serta menurunkan ilmunya kepada generasi selepasnya. Selain dari itu pegangan kuat orang-orang kampung kepada syariat Islam juga mempunyai kaitan dengan lenyapnya sedikit sebanyak adat resam itu.



Walaupun berketurunan dari tanah seberang banyak diantara ciri-ciri bangsaku tidak dimiliki hingga generasi sekarang. Antaranya bahasa,adat resam,budaya dan warisan.Yang lebih terserlah adalah penggunaan bahasa pertuturan. Rata-rata menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Banyak adat resam terdahulu dilupakan dan diganti dengan yang berteraskan hukum syarak. Apabila adanya kenduri kendara misalnya penggunaan asap kemenyan dan menyediakan ancak iaitu sejenis persembahan kepada makluk halus bagi memulakan sesuatu pekerjaan disamping jampi serapah dilakukan oleh Tok bomoh bagi menghindarkan perkara-perkara yang tidak diingini serta mengharapkan
keselamatan. Kini ianya diganti dengan doa selamat dan
bacaan ayat suci Al-Quran dan ketuai oleh Tok Imam sebagai



ketua syarak. Selain dari itu penyediaan bubur kanji,bubur putih merah dan manisan sebagai hidangan awal sesuatu majlis kenduri juga tidak lagi dihidangkan. Lebih ketara adalah penggunaan tepak sireh yang diajukan kepada tetamu yang menziarahi rumah orang kampung. Ini adalah adat kebesaran bangsaku yang telah dilupakan terus kerana tiada lagi orang-orang tua tang memakan sireh. Pokok sireh pun sukar di jumpai sekarang dan kalau ada hanya digunakan sebagai pokok perhiasan. Mungkin yang tinggal adalah sireh junjung salah satu persembahan ketika majlis persandingan diadakan. Itu pun fungsi asalnya tidak diketahui umum cukup sekadar penghias majlis. Pada tahun-tahun sebelum 70an sekiranya ada apa-apa majlis keramaian yang ingin dilakukan persembahan pencak silat dan
tarian pasti tidak ketinggalan.

 

Ini adalah salah satu kemegahan bangsaku. Jurus dan buah silat yang begitu mengasyikkan walaupun sekadar pertunjukan. Ketika itu anak-anak muda giat melibatkan diri mereka dalam pencak silat sebagai salah satu riadah,senaman dan menambah ilmu didada. Ini juga sebagai persediaan bagi mereka untuk melindungi seluruh kampung dari ancaman pihak luar. Tarian piring,tarian lilin,zapin,inang dan joget lambak adalah diantara kesenian yang sering dipersembahkan untuk tontonan dan hiburan orang kampung dahulu kala. Ianya menjadi satu kelaziman dan acara tentu apabila diadakan sebarang majlis keramaian.


Kini segalanya telah kian pupus. Yang tinggal adalah warisan keturunan yang rata-rata tidak mengetahui asal usul mereka. Yang tidak lagi mengamalkan adat resam dan budaya terdahulu. Kesemuanya kini di gantikan dengan yang baru dan moden serta tidak menampakkan ciri-ciri asal keturunan mereka. Yang lama telah lenyap dan punah dimamah zaman. Hanya yang tinggal adalah tetesan keturunan itu.

Jumaat, 2 April 2010

NEGERI TUMPAHNYA DARAHKU

Melaka negeri yang tua melakar seribu sejarah dan kenangan. Disinilah aku dilahirkan dan dibesarkan. Hanya apabila meningkat remaja dan dewasa dia ku tinggalkan, merantau menimba ilmu dan mencari rezeki. Akan tetapi ada masa lapang pasti aku kembali menjenguknya. Banyak peristiwa yang menggamit perasaan dan nostalgiaku tersimpan ditanah tumpahnya darahku ini. Aku membesar dengan kematangan dan kedewasaanku sebagai anak jati Melayu Melaka selari dengan kemegahan negeri itu pada suatu masa dahulu.



MELAKA MAJU JAYA

Melaka negeri bersejarah,
tempat tumpah darah kita,
dijunjung dengan sepenuh jiwa,
untuk maju dan jaya.

rakyat melaka sudah bersatu padu,
berikrar taat setia,
jujur berkhidmat setiap masa,
Melaka Maju Jaya

Lagu keramat yang membangkitkan jiwa yang terpendam untuk terus membangun dan memperkasakan diri demi kesejahteraan bangsa dan negeriku. Melaka kian pesat maju seiring dengan kehendak semasa. Akan tetapi sejarah lampaunya masa terpahat dihati setiap rakyat. Sebuah negeri yang kecil mampu menonjol dipersada dunia. Mampu memaklumkan bahawa bangsa yang kerdil ini ada kekuatan dan sejarahnya tersendiri. Walaupun pemimpin silih berganti kemakmuran dan perpaduan rakyat masih terjaga. Pembangunan demi pembangunan dilaksanakan semuanya untuk dinikmati oleh rakyat Melaka. Biarpun Bandar Ilir telah berubah wajah namun tempat-tempat sejarah masih utuh berdiri. Hanya Dataran Pahlawan yang telah tiada, 'dibinasakan' oleh kerakusan tangan yang zalim. Tempat yang begitu bersejarah sinonim dengan sejarah Kemerdekaan negara kita. Ia akan luput dari ingatan generasi muda kerana tiada yang dapat ditunjukkan sebagai bukti. Sejarah penjajah begitu diagung-agungkan hingga dijaga dengan rapi dan tersimpan sehingga kini. Malah untuk melenyapkannya pun tidak akan berlaku walhal bangsa inilah yang telah membinasakan sejarah kekuatan bangsa Melayu.


..syair sejarah Melaka


Melaka mempunyai pelbagai kesenian dan kebudayaan. Antara yang lebih menonjol adalah Dondang Sayang dan Kereta Lembu serta juga beca berhiasnya. Suatu ketika dahulu Melaka begitu sinonim dengan Mandi Safar. Sebut saja acara ini pasti seluruh rakyat akan bertandang bersama-sama memeriahkannya yang kebiasaan diadakan pada bulan safar. Berduyun-duyun orang ramai yang datang membanjiri Pantai Kundur untuk menyaksikan pelbagai pertunjukkan kebudayaan dan kesenian. Dari petang lagi mereka memenuhi ruang pesta yang diadakan sepanjang pantai. Pada kebiasaannya acara pesta ini akan tamat pada keesokkan paginya. Ada yang datang dengan kenderaan sendiri dan ada juga yang datang dengan kenderaan awam. Suasana pesta ketika itu sungguh menakjubkan masing-masing tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah hiburan yang disediakan. Dongdang Sayanglah menjadi penyeri acara. Terdapat berbilang Dongdang Sayang yang dipersembahkan,masing-masing menunjukkan kekuatan mereka berpantun tanpa sebarang persiapan sehinggalah ada peserta yang akhirnya mengaku kalah dan menarik diri. Bait-bait pantun kebiasaannya berkisar dengan cinta dan kasih sayang. Kini semuanya telah tiada. Tiada lagi persembahan kesenian yang diadakan terus menerus sehingga pagi. Acara yang dianggap bercanggah dengan syariat agama.


...lagu Melayu Asli Melaka


Orang tua-tua Melaka memang handal dalam bab berpantun. Ada saja topik yang diutarakan dan ada pihak yang membalasnya. Ia sekadar hiburan untuk sesuatu majlis dan ketika ini ianya telah berkurangnya minat generasi muda untuk menyambung bidang ini. Sebut sahaja Melaka,orang luar akan terpanggil dengan beberapa perkataan yang kerap kedengaran apabila menziarahi rumah orang Melaka. Lahabau,hawau dan lahanat serta beberapa perkataan lain yang diucapkan sebagai penyambut kedatangan tetamu akan tetapi ianya bukan bererti kasar atau memarahi sebaliknya menonjolkan riak keriangan orang Melaka terhadap tetamu yang datang. Itulah keramahan orang Melaka terhadap tetamunya dan adakala dianggap keterlaluan. Juadah makanan kuah bakar,dodol dan cencalok pasti dihidangkan kepada tetamu yang bertandang. Diakhir-akhir ini ianya tiada lagi kedapatan. Mungkin zaman dan selera telah berubah.



Kalau roboh kota Melaka
Tanah diJawa kami dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Badan dan nyawa kami serahkan





......pantun Melayu Melaka