Ahad, 4 April 2010

SEJARAH SILAM BANGSAKU

Asal dari tanah jawa dan berhijrah ke Tanah Melayu pada pemerintahan Kesultanan Melaka. Menganut agama Islam yang disebarkan dan dibawa oleh para ulamak. Berhijrah ke Melaka dengan di iringi adik beradik dan saudara terdekat. Hampir semuanya kaum lelaki. Merantau untuk mencari rezeki dan ilmu disamping meneruskan kehidupan yang baru. Mengusahakan pertanian dan antara kelompok terawal yang membuka kampungku.Rata-rata seluruh penduduk kampung adalah bersaudara dan mempunyai pertalian darah. Disinilah mereka bertemu jodoh dan bilangan penduduk semakin bertambah dari kehari sehingga kini melebihi 200 orang. Adat resam yang dahulunya selalu diamalkan sekian hari semakin menipis dan dilupakan.Mungkin orang-orang tua terdahulu tidak menitikberatkan hal ini dan seterusnya tidak mengajar serta menurunkan ilmunya kepada generasi selepasnya. Selain dari itu pegangan kuat orang-orang kampung kepada syariat Islam juga mempunyai kaitan dengan lenyapnya sedikit sebanyak adat resam itu.



Walaupun berketurunan dari tanah seberang banyak diantara ciri-ciri bangsaku tidak dimiliki hingga generasi sekarang. Antaranya bahasa,adat resam,budaya dan warisan.Yang lebih terserlah adalah penggunaan bahasa pertuturan. Rata-rata menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Banyak adat resam terdahulu dilupakan dan diganti dengan yang berteraskan hukum syarak. Apabila adanya kenduri kendara misalnya penggunaan asap kemenyan dan menyediakan ancak iaitu sejenis persembahan kepada makluk halus bagi memulakan sesuatu pekerjaan disamping jampi serapah dilakukan oleh Tok bomoh bagi menghindarkan perkara-perkara yang tidak diingini serta mengharapkan
keselamatan. Kini ianya diganti dengan doa selamat dan
bacaan ayat suci Al-Quran dan ketuai oleh Tok Imam sebagai



ketua syarak. Selain dari itu penyediaan bubur kanji,bubur putih merah dan manisan sebagai hidangan awal sesuatu majlis kenduri juga tidak lagi dihidangkan. Lebih ketara adalah penggunaan tepak sireh yang diajukan kepada tetamu yang menziarahi rumah orang kampung. Ini adalah adat kebesaran bangsaku yang telah dilupakan terus kerana tiada lagi orang-orang tua tang memakan sireh. Pokok sireh pun sukar di jumpai sekarang dan kalau ada hanya digunakan sebagai pokok perhiasan. Mungkin yang tinggal adalah sireh junjung salah satu persembahan ketika majlis persandingan diadakan. Itu pun fungsi asalnya tidak diketahui umum cukup sekadar penghias majlis. Pada tahun-tahun sebelum 70an sekiranya ada apa-apa majlis keramaian yang ingin dilakukan persembahan pencak silat dan
tarian pasti tidak ketinggalan.

 

Ini adalah salah satu kemegahan bangsaku. Jurus dan buah silat yang begitu mengasyikkan walaupun sekadar pertunjukan. Ketika itu anak-anak muda giat melibatkan diri mereka dalam pencak silat sebagai salah satu riadah,senaman dan menambah ilmu didada. Ini juga sebagai persediaan bagi mereka untuk melindungi seluruh kampung dari ancaman pihak luar. Tarian piring,tarian lilin,zapin,inang dan joget lambak adalah diantara kesenian yang sering dipersembahkan untuk tontonan dan hiburan orang kampung dahulu kala. Ianya menjadi satu kelaziman dan acara tentu apabila diadakan sebarang majlis keramaian.


Kini segalanya telah kian pupus. Yang tinggal adalah warisan keturunan yang rata-rata tidak mengetahui asal usul mereka. Yang tidak lagi mengamalkan adat resam dan budaya terdahulu. Kesemuanya kini di gantikan dengan yang baru dan moden serta tidak menampakkan ciri-ciri asal keturunan mereka. Yang lama telah lenyap dan punah dimamah zaman. Hanya yang tinggal adalah tetesan keturunan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan