Selasa, 25 Mei 2010

KAMPUNGKU YANG PERMAI

Kampung Pulau yang letaknya dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah dan Dewan Undangan Negeri Tg.Bidara adalah 5 km jaraknya dari bandar terdekat,Masjid Tanah dan 4 km dari pekan Kuala Sungai Baru. Jalanraya kampungku merupakan penghubung kepada yang hendak ke Port Dickson sekiranya dari arah selatan dan sebaliknya. Dahulunya jalanraya ini tidak terlalu sesak dengan kenderaan akan tetapi sekarang ini segalanya telah berubah. Ianya merupakan jalan pintas ke Bandar Melaka dan selatan bagi kebanyakan kenderaan berat seperti trailer dan lori kontena. Kampungku tidak lagi sunyi dari kenderaan seperti dahulu kala.

                                     ...salah satu rumah penduduk kg

Kampung Pulau mendapat nama dari kedudukan geografinya yang mana ianya dikelilingi air dan sawah. Sekiranya berlaku banjir besar dan air sungai melimpah sawah-sawah akan digenangi air. Akan tetapi tidak sampai menengelami kampungku yang mana kedudukannya agak tinggi dari sawah-sawah tersebut. Hampir kesemua penduduk Kampung Pulau adalah berbangsa Melayu dan berugama Islam. Dari dahulu kala lagi anak-anak watan kampungku akan berhijrah ketempat-tempat lain untuk mencari rezeki apabila meningkat dewasa. Singapura dan Kuala Lumpur adalah tumpuan mereka. Sehingga kini ada yang menetap terus dan mempunyai keluarga sendiri.Yang masih merindui kehidupan kampung akan balik dan menetap dikampung setelah bersara. Saiz kepadatan penduduk telah bertambah dan bilangan rumah kediaman baru yang dibina juga meningkat. Sawah yang dahulunya tempat orang kampung menanam padi kini telah terbiar dan ada yang mendirikan rumah mereka diatas tanah tersebut. Suatu ketika dahulu sawah-sawah ini cuba dimajukan dengan tanaman baru seperti limau bali dan pokok pisang apabila ianya tidak diusahakan lagi untuk menanam padi. Akan tetapi pertanian yang diusahakan tidak mendatangkan hasil dan semak samun menutupi kebanyakan tanah-tanah sawah tersebut. Mungkin keadaan tanah sawah ini tidak subur untuk diusahakan tanaman kontan dan akhirnya sebahagian tanah tersebut ditanam dengan pokok kelapa sawit.

                                  ...pemandangan dibelakang rumah

Kini segala-galanya telah berubah. Semangat setiakawan hampir pudar juga semangat ingin bekerjasama telah kian pupus. Masing-masing dengan hal kehidupan sendiri. Tidak lagi mahu mengambil berat akan kemakmuran kampung. Membiarkan sahaja apa yang berlaku tanpa sebarang tindakan atau mahu masuk campur.  Anak-anak muda yang ingin berbakti kepada kampungnya seolah-olah dipinggirkan dan diketepikan. Orang luar sudah berani semula memasukki kampung dan melakukan perkara-perkara yang boleh mejejaskan keselamatan kampung. Orang-orang tua seolah-olah telah buta mata dan telinga membiarkan ianya terus berlaku. Sepatut-patutnya merekalah pihak yang pertama mengambil inisiatif untuk mencegah dan mengekang perkara-perkara yang tidak diingini terus berlaku di kampung dan menjadi onak.

Yang menyedihkan mereka hanya berdiam diri. Lebih mengutamakan perkara-perkara ibadat semata-mata tanpa memikirkan akibat yang akan berlaku jika perkara tersebut tidak ditangani secepat mungkin. Kalau ada sekali pun kumpulan orang-orang tua ini berkumpul terutamnya dikedai kopi perkara yang dibincangkan adalah hal-hal yang tiada bersangkut paut dengan mereka. Apa sudah jadi dengan generasi tua in? Lupakah mereka akan tanggungjawab mereka terhadap kemakmuran kampung dan penghuninya? Sekiranya hal ini berterusan sudah pasti tiada lagi Kampung Pulau yang permai seperti dahulu kala. Yang membanggakan adalah generasi muda waktu ini yang sanggup berkorban demi keselamatan kampung tanpa memikirkan akibat yang akan mereka alami. Bagi mereka keharmonian kampung adalah segala-galanya....

Ahad, 25 April 2010

SEMANGAT KAMPUNG

Waktu dulu-dulu orang kampungku sungguh bersatu. Apa jua pekerjaan yang ingin dilakukan mereka akan sama-sama  akan berganding bahu melaksanakan. Tidak pernah merungut dan tidak pernah ketinggalan untuk ikut serta. Masing-masing tahu akan peranan mereka tanpa perlu mengikut perintah. Saling bantu membantu serta bertukar pandangan asalkan pekerjaan itu siap dan sempurna. Kalau tidak ikut serta mereka akan berasa seperti bersalah dan terkilan. Jemput sahaja samaada diumumkan dimasjid maupun di undang dirumah mereka pasti mereka hadir. Pagi-pagi lagi mereka sudah datang menghadirkan diri. Siap dengan kelengkapannya. Kalau ada yang kurang sudah pasti ada yang sudi menambahkan tanpa meminta sebarang bayaran. Segalanya dilakukan demi semangat kampung dan persaudaraan.

Majlis perkawinan umpamanya mereka akan saling membantu menyiapkan apa jua pekerjaaan dari mula majlis sampailah keakhirnya. Ada saja yang dilakukan secara beramai-ramai. Orang lelaki dengan tugasnya dan juga orang wanita dengan tugasnya. Jelas kelihatan akan semangat bergotong royong dan saling membantu. Tidak pernah mengeluh dan tidak pernah meminta habuan sebagai balasan. Kebiasaannya tuan rumah sudah tahu apa perlu dia lakukan sebagai mengenang jasa orang kampung yang menjayakan majlisnya
Juga pada majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran atau tahli. Jemput atau umumkan saja  pada orang kampung pasti berduyun menjayakan majlis itu. Tidak perlu disebutkan lagi apa aktiviti kampung yang tidak pernah tidak didatangi oleh orang-orang kampung. Pasti mereka ada dimajlis itu. Itulah semangat kampung yang begitu mendalam tersemai disanubari disetiap penduduk kampung. Bagai sudah mengerti apa yang patut mereka lakukan pabila diberitahu.

Akan tetapi segalanya ini telah berkurangan dan hampir pupus. Dizaman ini apa yang pernah dikecapi dan dialami pada masa 30 tahun yang lalu sudah menipis. Masing-masing dengan cara mereka. Ada sahaja alasan yang diberi bila diberitahu atau dijemput untuk kesesuatu majlis. Ada yang sudah pandai membuat pilihan sendiri semata-mata menurut hawa nafsu mereka. Kalau yang mengadakan majlis adalah orang yang ada kedudukan sudah pasti mereka memenuhi majlis itu dan jika yang membuatnya adalah orang biasa serta majlisnya kecil atau sederhana yang mendatanginya juga kecil bilangannya. Semang kampung diantara penduduk kampungku kini meruncing. Tiada lagi semangat setiakawan. Mungkin perbezaan masa yang menyebabkan hal ini berlaku. Mungkin status kehidupan setengah dari mereka telah berubah dan ini menyebabkan mereka rasa mereka tidak perlu berada dimana-mana majlis yang diadakan. Mereka boleh memilih mana yang dikehendakki.

Keriangan dan kemesraan antara penduduk kampung juga ketara berkurangan nampaknya. Yang tua tidak lagi mahu mencampuri kehidupan anak-anak muda. Tidak mahu memberi bimbingan dan nasihat serta petunjuk. Maka tidak hairanlah sesetengah anak muda yang baru meningkat usianya sudah tidak lagi menghormati orang-orang tua. Mereka dengan kehidupan mereka tersendiri. Tidak ada yang mahu menegur apa lagi menasihati apa yang mereka lakukan. Ada antara aktiviti-aktiviti anak-anak muda ini melanggari tatasusila dan adab kesopanan sebagai seorang Melayu dan berugama Islam.
Segalanya terumbang ambing. Ada yang berani mencabar keselamatan dan keharmonian kampung dengan perkara-perkara yang mereka lakukan tanpa memikirkan padah serta akibatnya.

Apa yang pasti sekiranya perkara ini tidak dibendung atau disekat ianya akan menular pada generasi akan datang. Maka terjadilah satu kehidupan yang begitu menjelikkan dan merosakkan identiti orang kampung itu sendiri. Kenapa orang-orang kampung diketika ini sudah tidak lagi peduli akan perkara ini walhal disuatu masa dahulu orang-orang Kampung Pulau sungguh dihormati dan disegani pabila menangani hal-hal semacam ini. Kemana hilangnya semangat kampung pada diri mereka. Apa sebenar yang berlaku? Yang pasti dapat memberikan jawapan akan soalan ini adalah orang-orang tua serta pemimpin Kampung Pulau itu sendiri. Kemana halatuju mereka? Apakah perancangan yang mereka ingin laksanakan? Kita liihat dan tunggu.....