Rabu, 31 Mac 2010

MELAKA NEGERI KERAMAT

Sememangnya aku bangga menjadi rakyat Melaka. Negeri yang penuh dengan sejarah silamnya. Kemasyuran Melaka dipersada dunia tidak boleh di nafikan. Di zaman Kesultanan Melaka,kegemilangan Melaka menjadi buah mulut setiap rakyat samaada didalam negeri maupun dari negara-negara luar. Melaka cukup dihormati sebagai pusat perdagangan dan tumpuan datangnya dari seluruh pelosok dunia. Kehebatan para hulubangnya digeruni pihak lawan. Siapa yang tak kenal Sahabat berlima ini-Hang Tuah,Hang Jebat,Hang Lekir,Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Merekalah menjadi benteng pelindung negeri Melaka pada ketika itu. Kebijaksanaan Laksamana Hang Tuah didalam menangani apajua masalah bagi pihak Sultan memang terserlah.Dialah menjadi wakil Sultan bila berurusan dengan negeri-negeri lain. Setiap perintah Sultan diturutinya dan akur melaksanakannya tanpa banyak soal.





Zaman berzaman kisah Hang Tuah dan sahabatnya diingati.Malah tercatat banyak riwayat dan sejarah Melaka pada masa kegemilangannya yang telah dibukukan untuk tatapan generasi kini. Apa yang pasti kejayaan Melaka berdasarkan ketaatan rakyat kepada pemerintah,jujur dan ikhlas berbakti demi tanah pertiwi,rela berkorban demi kesejahteraan negeri dan rakyat dan kebijaksanaan para penyandang jawatan tertinggi untuk melaksanakan tugas serta mandat yang diberi oleh Sultan demi kemakmuran negeri.




Melaka tanahnya tua. Tidak hairanlah ia menjadi tempat berkumpul dan persinggahan para ulama,para cendiakawan,para mubaligh dan juga para pendita. Banyak ilmu pengetahuan disebarkan kepada rakyat jelata. Dizaman Kesultanan Melakalah bermulanya episod penyebaran Agama Islam yang dibawa oleh ulama-ulama dari Indonesia, Arab dan India. Ada antara mereka datang sebagai pedagang. Mereka diterima baik oleh Sultan dan diberi kepercayaan untuk mengajar dan menyebar Agama Islam dinegeri Melaka. Sultan Melakalah orang yang pertama memeluk Islam pada waktu itu dan diikuti oleh yang lain. Maka bermulalah Melaka sebagai pusat penyebaran Agama Islam.





Kisah Laksamana Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya melawan orang mengamuk sehingga dilantik mereka menjadi hulubang Melaka masih segar diingatan. Kisah anak-anak remaja yang mampu menandingi kekuatan orang yang lebih dewasanya sehingga menewaskannya demi keselamatan rakyat lain. Juga kisah pelayaran Laksamana Cheng Ho dan puteri Hang Li Po ke Melaka ada rentetan dan kesannya. Selain dari itu lawatan Sultan Melaka bersama dengan rombongannya ke Majapahit sehingga terjadinya perlawanan silat antara Hang Tuah dan pendekar Majapahit juga menjadi peristiwa yang dikenang. Kisah yang membuatkan Hang Tuah berjaya memiliki keris Taming Sari.





Diantara banyak kisah legenda yang berlaku dizaman Kesultanan Melaka,cerita Puteri Gunung Ledang adalah antara yang banyak memberi kesan sehingga kini. Kisah Sultan Melaka yang ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang sehingga sanggup untuk mengorbankan anaknya demi keinginan nafsunya sememangnya dianggap zalim. Apatah lagi baginda memerintahkan seluruh rakyatnya untuk sama-sama menyumbang emas dan harta demi untuk memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang juga dianggap zalim dan tidak berhati perut. Kisah ini seharusnya menjadi tauladan kepada kita agar tidak berbuat sesuatu sewenang-wenangnya kerana menurut hawa nafsu.




Kesan Melaka dijajah Belanda dan Portugis adalah yang paling terpahat dihati setiap orang kerana dengan penjajahan ini maka bermulalah kehancuran Kesultanan Melaka. Melaka tidak ada lagi Sultan sehingga kini walhal zaman pemerintahan Kesultanan Melaka dianggap antara yang terhebat dalam sejarahnya. Yang masih ada sehingga kini adalah kesan sejarah peninggalan Belanda dan Portugis. Ia menjadi satu kebanggaan dan mercu tanda di Melaka.Tempat-tempat sejarah ini menjadi 'pusat perlu dikunjungi' dan termaktub dalam maklumat pelancongan negeri dan persekutuan. Inilah sejarah yang harus dikenang oleh generasi sekarang agar menjadi panduan. Kata-kata Laksamana Hang Tuah perlu menjadi pemangkin kepada kemegahan orang Melayu- " Tak Melayu Hilang Di dunia "

Tiada ulasan:

Catat Ulasan