Sabtu, 27 Mac 2010

TERKENANG DI MASA LALU...

Menyusuri kehidupan ini adakalanya menyeronokkan apalagi terdapat pelbagai peristiwa samaada yang manis maupun yang pahit. Segala liku kehidupan dan ranjau ku tempuhi disamping juga kenikmatan yang dikecapi. Itulah asam garam kehidupan. Aku dilahirkan disebuah tempat bernama Kampung Pulau,berkedudukan hampir 5 km jaraknya dari bandar terdekat,Masjid Tanah dan sebuah pekan kecil iaitu Kuala Sungai Baru. Bandar yang dilengkapi dengan infrastuktur asas menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan serta terus membangun dekat perancangan yang teliti. Ramai tokoh-tokoh dilahirkan dari kawasan ini.

Mengimbau kenangan silam adalah sesuatu yang cukup indah,mengusik jiwa dan nostalgia. Aku dibesarkan bersama 4 orang adik beradikku di kampung ini. Kampung yang suatu masa dahulu menyimpan pelbagai kenangan dan khazanah. Masih aku ingat lagi kedamaian dan ketenteram kehidupan disekitar tahun 60an dan awal 70an. Orang kampung masih lagi mengamalkan sikap persaudaraan dan kejiranan. Saling hormat menghormati. Yang tua disegani dan yang muda dibimbingi. Kepadatan penduduk kampungku yang hampir 200 orang mendiami rumah kediaman berjumlah hampir 60 buah. Rata-rata kesemua penduduk kampung saling berkaitan hubungannya.



Kampungku dihiasi dengan tumbuhan yang menghijau. Sawah ladang melingkari keliling kampungku. Sebab itulah kampungku diberi nama sedemikian rupa cukup sinonim dengan kedudukanya yang dipisahkan oleh sawah dan air. Rata-rata penduduk kampung menjalani tugas harian mereka sebagai orang kampung yang mengusahakan kebun getah dan sawah padi disamping berternak ayam,itik,kerbau dan kambing. Ada segelintir yang membela lembu.

Pagi-pagi lagi yang menoreh sudah kekebun mereka. Dari hasil jualan getahlah mereka dapat meneruskan kehidupan harian mereka membesarkan anak-anak walhal harga jualan getah pada masa itu hanya beberapa sen sekati. Bagi mereka itu cukup memadai dan bermakna asalkan rezeki yang diperolehi hasil dari keringat mereka sendiri. Yang mempunyai kebun atau ladang getah sendiri mungkin menikmati kehidupan yang agak mewah akan tetapi bagi mereka yang tidak mempunyainya terpaksa makan gaji atau mengambil upah yang mana hasil jualan dikongsi bersama.
Bayangkan dengan pendapatan yang tak seberapa tapi mereka mampu meneruskan kehidupan dan ada segelintir anak-anak mereka mampu berjawatan tinggi. Anak-anak mereka sedar akan keperitan kehidupan yang mereka lalui dan cara itulah mereka membalas jasabaik kedua orang tua mereka.


...tanaman di belakang rumah

Dipetang hari bagi mereka yang mempunyai tanah pula mengusahakan kebun. Mereka menanam pokok pisang,ubi,keledek serta tanaman kontan lain dan hasilnya untuk dijadikan makanan harian. Sungguh indah panorama lanskap kampung ketika itu. Segalanya menghijau dan menyejukkan mata. Belukar dan semak diterangi dan digantikan dengan kebun-kebun sayur. Sawah padi ketika itu hampir keseluruhannya melingakari kawasan kampung. Bersawah padi adalah merupakan aktiviti pertanian yang kedua penting selepas kebun atau ladang getah. Tatkala menyediakan tapak semaian dan sawah kerbau digunakan untuk membajak dan menghancurkan tanah agar mudah untuk menanam benih padi. Air disalirkan kedalam sawah samaada dari taliair,benteng maupun sungai. Hampir keseluruhan penduduk kampung bergotong royong bagi menyediakan sawah padi. Yang paling menyeronokkan adalah tatkala menanam benih padi. Ada sedikit saguhati diberikan kepada mereka yang membantu akan tetapi bukanlah itu tujuan asal mereka. Sikap dan sifat saling tolong menolong dan persaudaraan adalah matlamat mereka. Sehinggalah waktu menuai dan membanting padi kesemuanya dilakukan dengan kerjasama antara satu sama lain.


..pepohon rambutan yang menghijau

Tatkala menunggu padi masak ada antara anak-anak kampung yang menjalankan usaha menangkap burung wak-wak dan ayam-ayam bagi dijadikan sajian makanan.Mereka merentang jala atau jaring pada tepi petak sawah dan bersama-sama berusaha menghalau burung-burung tersebut agar mendekati dan tersangkut dijaring. Selain dari itu ada yang suka mengail ikan atau menimba lubuk ikan. Pada waktu ini batang joran dibuat dari ranting buluh atau anak pokok rembia. Selalu ikan yang diperolehi berupa puyu,haruan,sembilang,sepat,belida dan baung manakala umpannya adalah cacing.

Sungai,taliair dan benteng merupakan tempat tumpuan bagi anak-anak kampung untuk mandi manda dan berenang. Empangan dijadikan papan anjal bagi mereka yang suka mengayakan acara terjun. Riuh rendah kedengaran anak-anak ini tatkala berada di tempat-tempat tersebut dan menjadi riadah bagi mereka tatkala musim bersawah. Ada yang lupa hingga ke petang berada disitu dan akibatnya mereka dirotan oleh ibubapa mereka. Yang sempat lari terus balik kerumah dan bersembunyi akibat takut dimarahi.


...kepuk padi atau kui untuk menyimpan padi

Disamping berenang pelbagai permainan tradisional dijadikan aktiviti masa lapang anak-anak kampung. Bermain galah panjang, gasing,teng-teng,layang-layang,bola rounders,baling tin, polis santry dan bermacam-macam lagi. Bagi kanak-kanak perempuan permainan batu seremban,congkak dan anak patung menjadi pilihan. Permainan ini akan menjadi meriah bila ramai yang menyertainya.

Antara sukan yang diceburi diwaktu petang adalah bermain bolasepak dan sepaktakraw. Walaupun kampung tidak meyediakan padang bolasepak akan tetapi kesungguhan anak-anak kampung untuk bermain bolasepak mereka sanggup menjadi sawah dan kebun getah untuk dijadikan padang. Antara yang masih diingati adalah padang sendeng dan padang kubur.

Biar pun kekurangan kemudahan sukan anak-anak kampung mampu mengharumkan nama baik Kampung Pulau apabila memenangi beberapa pertandingan sukan pringakat DUN samaada bolasepak,sepaktakraw mau pun bola tampar. Juga tidak ketinggalan pertandingan permainan gasing pangkah dan sepakraga.

Tetapi segalanya telah berlalu dan tak mungkin akan dirasai serta dinikmati lagi. Semunya telah menjadi kenangan yang sukar dilupakan..








2 ulasan:

  1. Apa kabau Lan?
    Aku Jali anak Talib.

    BalasPadam
  2. Tahu Asal usul nama Kg Pulau?
    Saya dari Londang. Asal usul nama kampong ini adalah London.

    BalasPadam