Ahad, 28 Mac 2010

KENANGAN MENGUSIK JIWA

Aku dibesarkan dalam persekitaran yang mengamalkan adat resam,budaya dan kesenian Melayu. Agama Islam menjadi tunggak kepercayaan dan anutan seluruh warga kampung.Kami keseluruhannya mempunyai pertalian darah antara satu sama lain. Maka tidak hairanlah hubungan kekeluargaan kami sekampung cukup akrab dan saling hormat menghormati. Kami dididik dan diasuh dengan adat resam Melayu. Di pupuk dengan kecintaan budaya dan kesenian Melayu. Kami diajar cara menghormati ibubapa dan orang yang lebih tua. Yang muda disaran agar patuh kepada nasihat dan teguran yang lebih tua. Cara bertutur,cara berpakaian, cara berdandan dan juga cara menjaga kesihatan serta kebersihan dititikberatkan agar adat resam Melayu diamalkan dan dijadikan suatu budaya.







Adat resam Melayu telah yang menjadi kebangaan masyarakat kampung dan sebati dengan diri mereka. Budi bahasa dan sopan santun diutamakan dalam hubungan antara satu sama lain.Tiada jerit pekik dan tinggi suara bagi yang muda apabila bercakap dengan yang lebih tua. Pangkat persaudaraan digunakan untuk berbicara. Ianya lebih mudah bagi membezakan ikatan mereka. Maka tidak hairan mereka saling bertegur sapa dan memberi salam apabila bersua serta berselisih jalan. Pasti tangan dihulurkan dan disambut dengan hati yang ikhlas serta terbuka.



Setiap urusan yang melibat keseluruhan warga kampung ianya pasti dijalankan secara gotong royong dan kerjasama. Selain dari permuafakatan dan bertolenrasi dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang di alami , Tok Sidang maupun Tok Imam adalah orang mendapat kepercayaan bagi mereka untuk mendapatkan keputusan dan rujukan. Kata putus akan dibuat oleh salah seorang dari yang dua ini setelah menimbang dan mengambil kira kepentingan semua pihak. Jarang sesuatu pemasalahan itu tidak dapat diselesaikan atau dirungkaikan. Yang pasti semua pihak akan berpuashati dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Tok Sidang dan Tok Imam adalah dua individu yang mendapat penghormatan dari seluruh warga kampung. Rumah merekalah yang akan menjadi tempat berkumpul untuk membincangan apa jua pemasalahan dan rungutan. 



Budaya dan kesenian telah menjadi amalan dalam kehidupan harian masyarakat kampungku. Apabila ada keramaian pasti dihidangkan pelbagai kesenian Melayu kepada penduduk kampung. Joget,tarian,muzik tradisional dan paluan rebana adalah antara kesenian yang dipersembahkan. Baik yang muda maupun yang tua pasti berduyun-duyun memenuhi ruang keramaian tersebut. Biasa ianya diadakan pada majlis perkawinan,acara kesenian kampung dan juga pada majlis menyambut pembesar negeri. Sungguh meriah suasana berlangsungnya majlis tersebut dan selalu berakhir hingga larut malam.





Pertunjukan wayang gambar yang disediakan oleh Jabatan Penerangan Negeri juga menjadi wadah hiburan kepada orang kampung. Sebulan sekali pasti ada ditayangkan pelbagai cerita dan rencana bagi memaklumkan aktiviti kerajaan pada waktu itu. Balai raya adalah tempat berlangsungnya pertunjukan tersebut selain dari padang sekolah dan kawasan lapang kampung. Sebelum bermulanya pertunjukan wayang gambar itu kenderaan Jabatan Penerangan yang terlibat akan mengumumkan pada warga kampung serta warga kampung berhampiran. Setelah waktu maghrib selesai maka berduyun-duyunlah orang kampung mengunjungi kawasan pertunjunkan wayang itu agar mendapat ruang dan tempat duduk untuk menontonnya biarpun waktu tayangan adalah selepas isyak.
Ada yang membawa kerusi dan tikar sebagai tempat duduk kerana kawasan pertunjukan adalah kawasan lapang dan tiada kemudahan yang di sediakan.

Selain itu bagi mereka yang meminati tayangan gambar hindustan dan tamil pasti akan mendatangi estet getah berdekatan yang menyajikan tayangan gambar tersebut. Mereka akan berjalan dalam kelompok yang ramai dan rata-rata adalah kaum wanita yang juga pekerja estet tersebut. Mereka memulakan perjalanan seawal sebelum maghrib dan berpandukan lampu suluh serta andang daun kelapa sebagai penerang jalan yang dilalui. Ladang getah merupakan jalan pintas bagi mereka untuk sampai ke estet tersebut dan kembali semula kerumah sebelum subuh. Inilah antara hiburan masyarakat kampung ketika itu sekitar tahun sebelum awal 70an.

Apa yang dialami di zaman serba canggih ini tidaklah sama seperti pada era sebelum 70an. Segala-galanya kian pupus dan sukar dicari ganti. Zaman ini masyarakat lebih mengutamakan diri sendiri dan keluarga mereka. Tiada lagi kesenian. Budaya dan adat resam pun sudah mula dilupakan.
Apalagi kekuatan orang Melayu yang tinggal? Ciri-ciri untuk mengenali orang Melayu dan membezakannya dengan bangsa lain telah lupus. Pada suatu ketika adat resam,budaya,kesenian dan warisan Melayu menjadi lambang kemegahan bangsa Melayu. Kini kesemuanya semakin tipis dan dilupakan.

Hingga ke saat ini apalagi yang orang Melayu ada? Hanya nama bangsa itu yang masih kekal dan tidak mustahil akan lenyap di suatu masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan