Sabtu, 27 Mac 2010

NOSTALGIA MENGIMBAU KENANGAN

Terdapat pelbagai kenangan yang tidak akan dapat aku lupakan sehingga akhir hayatku. Yang masih bermain dibenak fikiranku adalah peristiwa semasa aku masih kanak-kanak dan remaja disekitar tahun 60an dan awal 70an. Diwaktu itu kampungku masih lagi mengamalkan tradisinya sebagai desa yang keseluruhan didiami oleh bangsa Melayu yang mempunyai hubungan kekeluargaan antara satu sama lain.Terdapat kekurangan dari segi infrastruktur terutamanya kemudahan air,elektrik dan jalan raya yang hanya dinikmati diakhir 60an dan awal 70an. Sebut sahaja Kampung Pulau waktu itu orang ramai sudah tahu kedudukan geografinya yang dikelilingi sawah dan air.





Kampung yang dahulunya ditumbuhi tanaman yang menghijau dan menenangkan hati serta menyediakan makanan untuk penduduknya kini bertukar menjadi hutan belukar dan menyakitkan mata memandang. Sudah tiada sawah padi yang luas terbentang. Tiada lagi lebarnya sungai dan benteng serta taliair. Sungai kini cetek dan tidak seronok untuk direnangi. Tiada lagi hiruk pikuk dan jeritan anak-anak bermain air sungai. Sudah hilang salah satu aktiviti permainan anak-anak kampung diwaktu lapang. Tanaman kelapa sawit sudah menggantikan kebun getah dan sawah terbiar. Sesuatu yang pasti akan melenyapkan kesuburan tanah tersebut untuk diusahakan pada masa akan datang.




...jalan kampung dan tumbuhan yang menghijau


Majlis gotong royong sudah boleh dikira waktu ini jika dibandingkan pada masa lalu. Segala aktiviti kemasyarakatan kampung diusahakan secara beramai dan bergotong royong. Majlis kenduri kahwin umpamanya terlalu meriah apabila rata-rata penduduk kampung menyertai bersama menyediakan apa jua untuk melaksanakan majlis tersebut tanpa sebarang cacat celanya. Dari penyediaan balai sehinggalah kepada penyediaan makanan keseluruhannya dijalankan secara gotong royong. Tiada yang ketinggalan bermula dari hari tak langsung/kerja sehinggalah sudah majlis tersebut. Lebih meriah tatkala menyediakan lauk  pauk untuk kenduri pada keesokkan harinya apalagi tuan rumah menyediakan kerbau yang mana dagingnya dijadikan sebagai juadah utama hidangan kepada para jemputan. Sama-sama melapah daging. Sama-sama menghiris dan merebus daging. Ada yang mengambil secoret daging lalu dibakar dengan hanya digaul garam dan kenikmatannya tidak terhingga. Bagi yang membantu dimalam hari disediakan pelbagai juadah. Kebiasaanya aktiviti ini berlaku selepas majlis kenduri malam hari tak kerja dan siap sehingga subuh keesokkan hari langsung .Kerja-kerja memasak dan menyedikan lauk pauk dan juadah selalunya dilakukan oleh pihak wanita. Kaum lelaki hanya membantu memasak nasi dan lauk utama. Kayu getah dijadikan bahanapi manakala air diperolehi dari perigi berhampiran. Hampir kesemua juadah samaada lauk pauk maupun nasi dimasak menggunakan kawah bertungkukan besi.




....serai wangi merupakan hiasan rumah. Kegunaanya ?

Pada masa ini tiada bekalan letrik dan apabila sesuatu majlis perkawinan dijalankan hanya lampu gasolin dan andang kelapa sebagai penyeri majlis. Terserlah kegermelapan majlis tersebut dihiasi oleh sinaran lampu gasolin dan andang daun kelapa.Selalunya akiviti majlis perkawinan ini akan terus berlangsung sehingga segala-galanya selesai pada keesokkan harinya. Sebelum sesuatu majlis kenduri perkawinan berlangsung terlebih dahulu disediakan balai dan ruang masak atau penanggah. Buluh menjadi bahan utama penyediaannya sementara daun kelapa dan pelepah kelapa yang masih hijau dijadikan penghias balai tetamu. Atap rembia dijadikan bumbung balai dan penanggah bagi mengelakkan dari hujan dan panas terik sehingga lah ianya digantikan dengan kanvas dan kain payung terjun.Majlis membersihkan kampung juga diadakan secara gotong royong. Selain itu upacara memindahkan rumah kayu juga dijalankan secara berkerjasama. Rumah yang sudah ditanggalkan atap dan dindingnya diangkat beramai-ramai dan pindahkan kesuatu tempat lain yang tidak jauh kedudukan dari asalnya.





 
Bagi mengucapkan terima kasih kepada orang kampung tuan rumah yang mengadakan majlis perkawinan tersebut akan menyediakan majlis tari menari dan joget lambak yang diiringi oleh muzik tradisional. Upacara ini selalunya berlangsung pada malam hari selepas majlis perkawinan tersebut selesai. Biasanya majlis tari menari ini akan akan tamat lewat malam. Ramailah penduduk kampung yang hadir untuk menyaksikan upacara ini dan adalah menjadi lumrah tarikan kepada yang muda maupun yang tua.





Segala-galanya telah tiada lagi. Sawah padi menjadi belukar,kerbau diternak tanpa tugas. Khemah-khemah moden mengggantikan balai dan penanggah buluh lengkap dengan kipas angin. Lampu gasolin dan andang ditukarkan dengan kegermelapan cahaya lampu letrik. Hampir keseluruhan tiang letrik dikampungku dihiasi lampu jalan. Gotong royong sudah berkurangan kerana apa saja majlis yang melibatkan penyediaan makanan diambilalih oleh katering.Hanya majlis yang tidak besar jamuannya masih mengekalkan penyediakan secara kerjasama. Kenderaan menghiasi jalanraya kampungku dan saban hari bertambah serta memekakkan telinga. Tiada lagi kehijauan yang menenangkan dan tiada lagi keharmonian kampung seperti dahulu kala.


Orang kampung sudah pandai mementingkan diri dan tidak peduli lagi akan persekitaran. Terdapat dua fahaman politik dimana yang tua berpihak kepada parti pemerintah manakala yang muda memilih pembangkang sebagai wadah perjuangan yang tidak tentu hala tujunya. Kampungku tidak seperti dulu lagi. Hawa panas menyelubungi keseluruhan kampung. Sukar untuk mendapatkan ketenagan jiwa apabila berada dikampung. Mungkinkah suatu masa nanti tiada lagi Kampung Pulau?
Fikirkanlah realitinya.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan