Selasa, 25 Mei 2010

KAMPUNGKU YANG PERMAI

Kampung Pulau yang letaknya dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah dan Dewan Undangan Negeri Tg.Bidara adalah 5 km jaraknya dari bandar terdekat,Masjid Tanah dan 4 km dari pekan Kuala Sungai Baru. Jalanraya kampungku merupakan penghubung kepada yang hendak ke Port Dickson sekiranya dari arah selatan dan sebaliknya. Dahulunya jalanraya ini tidak terlalu sesak dengan kenderaan akan tetapi sekarang ini segalanya telah berubah. Ianya merupakan jalan pintas ke Bandar Melaka dan selatan bagi kebanyakan kenderaan berat seperti trailer dan lori kontena. Kampungku tidak lagi sunyi dari kenderaan seperti dahulu kala.

                                     ...salah satu rumah penduduk kg

Kampung Pulau mendapat nama dari kedudukan geografinya yang mana ianya dikelilingi air dan sawah. Sekiranya berlaku banjir besar dan air sungai melimpah sawah-sawah akan digenangi air. Akan tetapi tidak sampai menengelami kampungku yang mana kedudukannya agak tinggi dari sawah-sawah tersebut. Hampir kesemua penduduk Kampung Pulau adalah berbangsa Melayu dan berugama Islam. Dari dahulu kala lagi anak-anak watan kampungku akan berhijrah ketempat-tempat lain untuk mencari rezeki apabila meningkat dewasa. Singapura dan Kuala Lumpur adalah tumpuan mereka. Sehingga kini ada yang menetap terus dan mempunyai keluarga sendiri.Yang masih merindui kehidupan kampung akan balik dan menetap dikampung setelah bersara. Saiz kepadatan penduduk telah bertambah dan bilangan rumah kediaman baru yang dibina juga meningkat. Sawah yang dahulunya tempat orang kampung menanam padi kini telah terbiar dan ada yang mendirikan rumah mereka diatas tanah tersebut. Suatu ketika dahulu sawah-sawah ini cuba dimajukan dengan tanaman baru seperti limau bali dan pokok pisang apabila ianya tidak diusahakan lagi untuk menanam padi. Akan tetapi pertanian yang diusahakan tidak mendatangkan hasil dan semak samun menutupi kebanyakan tanah-tanah sawah tersebut. Mungkin keadaan tanah sawah ini tidak subur untuk diusahakan tanaman kontan dan akhirnya sebahagian tanah tersebut ditanam dengan pokok kelapa sawit.

                                  ...pemandangan dibelakang rumah

Kini segala-galanya telah berubah. Semangat setiakawan hampir pudar juga semangat ingin bekerjasama telah kian pupus. Masing-masing dengan hal kehidupan sendiri. Tidak lagi mahu mengambil berat akan kemakmuran kampung. Membiarkan sahaja apa yang berlaku tanpa sebarang tindakan atau mahu masuk campur.  Anak-anak muda yang ingin berbakti kepada kampungnya seolah-olah dipinggirkan dan diketepikan. Orang luar sudah berani semula memasukki kampung dan melakukan perkara-perkara yang boleh mejejaskan keselamatan kampung. Orang-orang tua seolah-olah telah buta mata dan telinga membiarkan ianya terus berlaku. Sepatut-patutnya merekalah pihak yang pertama mengambil inisiatif untuk mencegah dan mengekang perkara-perkara yang tidak diingini terus berlaku di kampung dan menjadi onak.

Yang menyedihkan mereka hanya berdiam diri. Lebih mengutamakan perkara-perkara ibadat semata-mata tanpa memikirkan akibat yang akan berlaku jika perkara tersebut tidak ditangani secepat mungkin. Kalau ada sekali pun kumpulan orang-orang tua ini berkumpul terutamnya dikedai kopi perkara yang dibincangkan adalah hal-hal yang tiada bersangkut paut dengan mereka. Apa sudah jadi dengan generasi tua in? Lupakah mereka akan tanggungjawab mereka terhadap kemakmuran kampung dan penghuninya? Sekiranya hal ini berterusan sudah pasti tiada lagi Kampung Pulau yang permai seperti dahulu kala. Yang membanggakan adalah generasi muda waktu ini yang sanggup berkorban demi keselamatan kampung tanpa memikirkan akibat yang akan mereka alami. Bagi mereka keharmonian kampung adalah segala-galanya....

1 ulasan: